Sunday 9 February 2014

KEPENTINGAN PERNIAGAAN DALAM ISLAM

Besarnya sumbangan perniagaan dalam kehidupan seorang muslim telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud: Didorong atas kamu adalah perniagaan kerana di dalamnya ialah sembilan persepuluh daripada rezeki. Kesungguhan untuk mengalakkan umat Islam menyertai bidang perniagaan ini telah ditekankan dalam surah al-Jumu’ah ayat 109 yang bermaksud: Apabila telah ditunaikan sembahyang (pada hari Jumaat) maka bertebarlah kamu dimuka bumi, dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung. 

Bidang perniagaan atau muamalat ini pula secara umumnya melibatkan dua aspek yang pertama hubungan mereka yang terlibat dalam bidang ini dengan penciptanya (hablumminallah) dalam mencari balasan yang baik di akhirat di atas amalan perniagaan yang jujur dan amanah sewaktu mereka hidup di dunia. Hubungan sesama insan (hablumminannas) pula melibatkan peniaga berkenaan mencari ganjaran kesenangan di dunia melalui menyempurnakan keperluan manusia di sekelilingnya dan dalam masa yang sama mendapat keuntungan dalam bentuk kebendaan untuk mengisi keperluan kehidupan seharian. 

Pada kebiasaannya apabila berbicara mengenai perniagaan biasanya penumpuan diberikan kepada kemampuan individu untuk menjana keuntungan berteraskan kepada aspek kebendaan dan keduniaan. Keinginan untuk menyertai kegiatan ini pula didorong oleh peluang untuk memperolehi kekayaan yang lebih berbanding bidang lain.  Dorongan ini adakalanya mampu mengaburi mata dan fikiran insan
menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengira halal dan haram. Di sini terletaknya istilah yangdinamakan ‘keberkatan’, ianya tidak dapat dijelaskan namun kita dapat merasainya dan kita mengetahui bahawa apa yang kita perolehi daripada aktiviti perniagaan tersebut diberikan ‘keberkatan’
ataupun disebaliknya daripada Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment